Saturday, 31 December 2016

Mee Kari Kuah Putih Orang Melayu Bukan Orang Putih

Assalamualaikum dan selamat tengahari semua!

Anak-anak Mak Su dah makan ka? Hari ni, dari dapur Mak Su, dibawakan resipi istimewa Mee Kari Kuah Putih Orang Melayu Bukan Orang Putih. Pernah makan tak? Kalau belum pernah, mai la cuba.  

Resipinya sangat simple dan senang. Tapi bila dah rasa, pasti menambat selera. Mak mentua lalu kat belakang pun tak perasan punya.

Jemput makan semua!

(Sori ye, gambar tak clear. Fotographer amat lapar sampai mengeletar gila dan air liur meleleh basah selantai tengok Mee Kari Kuah Putih sedap ni.)


Resipi Mee Kari Kuah Putih Orang Melayu Bukan Orang Putih

Bahan-bahan:

1 bungkus Mee Kuning
500 gram Tulang
500 gram Daging
3 cawan Santan Pekat
Air secukupnya
Garam secukup rasa 

Untuk Sambal:

100 gram Cili Kering
2 biji Bawang Besar 
5 biji Cili Padi (boleh letak lebih jika mahu lebih pedas)
2 inci Halia
2 inci Lengkuas
2 sudu besar Udang Kering 
3 keping Asam Keping
Garam dan Gula secukup rasa 

Bahan Hiasan:

3 biji Cili Merah (dipotong nipis dan sedikit serong)
3 keping Tauhu (digoreng dan dipotong nipis)
2 pokok Sawi (dicelur)
500 gram Kerang (direbus dan dikupas kulit)  
Bawang Goreng 
Daun Sup  
 
Cara-cara:

Rebus tulang dan daging sehingga empuk.

Setelah daging empuk, masukkan santan dan kacau perlahan (supaya tak pecah minyak) sehingga mendidih.

Perasakan dengan garam dan bahan perisa (jika mahu) secukupnya.

Untuk Sambal:

Kisar cili kering, bawang besar, cili padi, halia, lengkuas dan udang kering sehingga betul-betul halus.
Di dalam kuali, panaskan minyak. Tumis bahan kisar tadi sehingga garing. Kemudian masuk asam keping dan sedikit air. Kacau sehingga semua bahan mesra. Masukkan garam dan gula secukup rasa.

Cara Untuk Dihidangkan:

Masukkan mee kuning yang telah dicelur ke dalam mangkuk, dan sendukkan kuah secukupnya.
Hiaskan dengan daging yang telah dihiris (dari rebusan kuah tadi), cili merah, tauhu, sawi, bawang goreng, daun sup dan juga kerang rebus. Letakkan sambal secukupnya.

Mee Kari Kuah Putih Orang Melayu Bukan Orang Putih sedia untuk dihidangkan.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Untuk menambahkan kemanisan asli pada kuah kari ini, kita boleh tambahkan dengan air rebusan udang. Sama ada mahu masukkan air dari rebusan kulit udang ataupun rebus sekali isi udang bersama daging tadi.

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.

Saturday, 24 December 2016

Sup Tulang Daging Mengeleber Moo Moo Moooooo


Assalamualaikum dan selamat tengahari semua!

Sekarangkan musim hujan. Sedapnya kalau dapat makan sup panas-panas berserta nasi panas. Bila dah teringin tu, maka terhasillah Sup Tulang Daging Mengeleber Moo Moo Moooooo untuk makan tengahari.

Kalau ada yang diet dan tak mau makan nasi, sup ini juga boleh dimakan dengan bihun, mee ataupun kuew teow. Nak hirup sup saja pun boleh.

Sedap dimakan bersama sambal kicap. Sure bertambah meletop rasanya.

Jemput makan semua!


Resipi Sup Tulang Daging Mengeleber Moo Moo Moooooo

Bahan-bahan:

1 kg Tulang Rusuk (beli bersama campuran daging ye)
2 liter Air (untuk rebusan)
2/3 ketul Kiub Daging Knorr
1 sudu Garam Masala
5 biji Ubi Kentang - dipotong 4
3 batang Kulit Kayu Manis
5 kuntum Bunga Cengkih
2 kuntum Bunga Lawang

Bahan Kisar 1
1 sudu Jintan Manis
2 biji Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1 sudu Lada Hitam

Bahan Kisar 2 (Untuk Tumis Darat)
10 biji Bawang Merah
3 ulas Bawang Putih

Bahan-bahan Hiasan:
2 pokok Daun Sup
2 pokok Daun Bawang

Cara-cara:

Rebus daging dengan api yang perlahan.

Kemudian masukkan Bahan Kisar 1, kiub Daging Knorr dan garam masala.

Masak sehingga daging empuk dan masukkan ubi kentang.

Tunggu sehingga kentang empuk.

Dengan menggunakan periuk yang lain, tumis Bahan Kisar 2 bersama kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang sehingga wangi dan garing. Kemudian masukkan ke dalam air rebusan tulang rusuk itu tadi. Terus tutup periuk supaya dapat mengekalkan bau yang wangi sup nanti.

Potong daun sup dan daun bawang (dalam 1/2 inci). Taburkan ketika sup hendak dihidangkan nanti.

Sup Tulang Daging Mengeleber Moo Moo Moooooo sedia untuk dihidangkan bersama nasi panas.


Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Garam masala digunakan dalam sup kita kali ini bertujuan untuk menghasilkan rasa berempah pada sup kita. Jadi bila dah rasa berempah tu, pasti akan membangkitkan selera kita untuk makan, kan?

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.

Thursday, 22 December 2016

Resipi Mak Su Nor Zaman Dulu Kala P.Ramlee-Saloma Jatuh Cinta

Assalamualaikum semua!

Mak Su bagi you all sekodeng sesuatu nak? Sekeping coretan resipi dari buku masak Mak Su dari zaman muda.

Ni la resipi kek kegemaran dulu, kini dan selamanya.
Orang la pangge kek ni Kek Gula Hanguih or Kek Sarang Semut.
Tapi kami dulu pangge Sponge Cake.

Ok, ada paham ?

 
Version ni tak payah peram berjam-jam. Lepas siap boleh terus masuk oven.

Juadah wajib setiap kali menyambut Hari Raya. Tak pernah miss. Pasti jadi!

Cuba try test!

Saturday, 17 December 2016

Cucur Jagung Apek Pendek Digoreng Bersama Kuchai Cina Cepat

Assalamualaikum dan selamat pagi semua!

Hari ni untuk breakfast, Mak Su masak Cucur Jagung Apek Pendek Digoreng Bersama Kuchai Cina Cepat. Amboi, tengok nama resipi takut pulak Mak Su.

Sebenarnya nama resepi ni diambil dari kenangan anak-anak Mak Su waktu diorang kecik-kecik. Yalah, kecik-kecik dulu Mak Su akan suruh diorang beli tepung gandum dari Apek Pendek dan kuchai pulak dibeli dari Apek Cina Cepat sebab dia cepat macam Speedy Gonzales.

Sangat sedap dimakan bersama sos cili atau pun kuah kacang (nanti Mak Su kongsikan cara nak membuatnya).

Jemput makan semua!


Resipi Cucur Jagung Apek Pendek Digoreng Bersama Kuchai Cina Cepat

Bahan-bahan:

500 gram Tepung Gandum
50 gram Daun Kuchai
50 gram Jagung
1 biji Bawang Besar - dipotong nipis
10 ekor Udang (seekor dipotong 3)
2 sudu teh Serbuk Kunyit
Air secukupnya
Garam secukup rasa 

Cara-cara:

Masukkan tepung ke dalam bekas yang bersesuaian.

Potong kuchai panjang-panjang (lebih kurang 1 inci panjang).

Masukkan kuchai yang sudah dipotong, jagung, bawang besar dan udang ke dalam tepung.

Air dimasukkan sedikit demi sedikit ke dalam adunan tepung tadi. Pastikan adunan tidak terlalu cair.

Masukan serbuk kunyit dan garam secukup rasa.  

Panaskan minyak secukupnya.

Gunakan 2 batang sudu bagi memudahkan proses memasukkan adunan tepung ke dalam minyak panas. Sendukkan adunan tepung dengan sudu, dan masukkan adunan ke dalam minyak panas. Satu lagi sudu diperlukan bagi menolak adunan tepung ke dalam minyak. Ulang sehingga adunan penuh kuali.

Balik-balikkan adunan sehingga masak dan garing.

Ulang langkah di atas sehingga kesemua adunan tepung siap digoreng.

Cucur Jagung Apek Pendek Digoreng Bersama Kuchai Cina Cepat sedia untuk dihidangkan.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Ramai yang dok tanya, macam mana nak buat cucur kita tak keras.

Simple je, sebenarnya. Make sure, minyak yang kita nak masukkan adunan tepung betul-betul panas. Kalau kita masukkan adunan tepung tapi time tu minyak tak betul-betul panas, maka cucur kita akan menjadi keras dan juga berminyak.

Kecilkan api bila cucur hampir masak dan tunggu hingga ia garing dan masak dengan sempurna.

Tak percaya? Cubalah dulu, baru tahu!

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.

Saturday, 10 December 2016

Asam Pedas Meletop Wah Wah Wah

Hai semua. Apa habaq?

Hari ini Mak Su nak introduce satu lagi masakan orang utara.

Orang utara panggil dia Asam Pedas. Orang negeri lain jangan kena tipu tau, sebab di selatan orang panggil dia Asam Rebus. Check it out!

Hanya rebus sahaja ala singgang. That's why masakan ini amat sesuai untuk orang yang tengah on diet kerana langsung tak pakai minyak. Tapi rasa dia sedap sangat, konfem tambah nasi dua pinggan. Habislah diet!

Itulah sebab dia Meletop Wah Wah Wah!

Jemput makan semua!

  
Resipi Asam Pedas Meletop Wah Wah Wah

Bahan-bahan:

5 ekor Ikan Kembung
150gm Cili Kering
1 inci Belacan
5 biji Bawang Merah
2 sudu besar Asam Jawa - dijadikan 1 cawan jus
10 batang Daun Kesum - dilurutkan
1 batang Bunga Kantan - dibelah dua
10 biji Kacang Bendi - dibuang tangkai
Garam secukup rasa

Cara-cara:

Basuh ikan kembung sehingga bersih.

Kisar cili kering, belacan, bawang merah dan secawan air sehingga halus.

Masukkan bahan kisar tadi ke dalam periuk bersama 1 cawan jus asam jawa.

Masak sehingga mendidih. Kemudian masukkan daun kesum, bunga kantan dan kacang bendi. Kacau seketika.

Masukkan ikan kembung. Bila ikan masak, masukkan garam secukup rasa dan kacau.

Asam Pedas Meletop Wah Wah Wah sedia untuk dihidangkan.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Mak Su tak suka masukkan gula dalam masakan. That's why Mak Su gunakan bawang merah untuk membangkitkan rasa manis original dalam masakkan. Cuba try test!

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.

Saturday, 3 December 2016

Gulai Kepala Ikan Bawal Spesial Penang Mari

Mari, mari, mari!

Hari ini Mak Su masakkan hidangan yang amat spesial - ada rasa masin, ada rasa masam, ada rasa pedas. Semua rasa pun ada!

Pasti sedap! Pasti menyelerakan! Encik Husband pasti tambah 2 pinggan nasi!

Yang penting, Penang mari!

Jemput makan semua!


Resipi Gulai Kepala Ikan Bawal Spesial Penang Mari

Bahan-bahan:

2 ketul Kepala Ikan Bawal Hitam
3 paket Serbuk Rempah Ikan
1 sudu besar Halba Campur
3 ranting Daun Kari - dilurutkan
4 biji Bawang Merah - dimayang halus
2 biji Bawang Putih - diketuk
2 biji Tomato Masak
10 biji Kacang Bendi - dipotong
2 biji Terung - dibelah 4
2 biji Cili Merah - dibelah 4 tapi jangan putus
2 sudu besar Asam Jawa - dijadikan 1 cawan jus
2-3 sudu besar Santan Pekat
1 senduk besar Minyak Masak
Garam secukup rasa

Cara-cara:

Basuh kepala ikan bawal sehingga bersih.

Panaskan minyak masak dan tumiskan bawang merah, bawang putih, daun kari dan halba campur sehingga layu dan naik bau.

Masukkan rempah kari dan sedikit air. Kacau sehingga pecah minyak.

Masukkan air asam jawa, kepala ikan, tomato, terung dan kacang bendi. Biarkan sehingga mendidih. Masukkan santan pekat, cili merah dan garam secukup rasa. Kacau sehingga masak.

Gulai Kepala Ikan Bawal sedia untuk dihidangkan.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Untuk menghilangkan bau hanyir ikan, basuh dahulu kepala ikan dengan air asam jawa. Kemudian basuh dengan air bersih.

Kadangkala akibat kita simpan ikan di dalam peti sejuk dengan agak lama, ini akan menyebabkan ikan akan menjadi kurang segar. Bagi mengembalikan kesegaran ikan tersebut, setelah dinyahbekukan, rendam seketika ikan dengan air yang direnjiskan sedikit cuka.

InsyaAllah, ikan akan kembali segar dan tidak berbau.

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.

Saturday, 26 November 2016

Gulai Ikan Talang Masin Tumis Darat Air Liur Meleleh

Apa khabar anak-anak tersayang Mak Su?

Apa khabar semua warga siber?

Hari ini Mak Su masakkan hidangan yang memang menyelerakan ~ Gulai Ikan Talang Masin.

Dengar saja nama dia pun, air liur mula meleleh, kan?

Jemput makan semua!


Resipi Gulai Ikan Talang Masin Tumis Darat Air Liur Meleleh 

Bahan-bahan:

500gm tulang dan isi Ikan Talang Masin
2 biji Kentang - dipotong 6
2 biji Terung - dipotong 6
2 bungkus Rempah Kari Ikan
2 cawan Santan Pekat
1/2 cawan Air Asam Jawa Cair

6 biji Bawang Merah - dikisar
1 inci Halia - dikisar
6 tangkai Cili Kering - dikisar

6 biji Bawang Merah - dimayang halus
2 ulas Bawang Putih - dimayang halus
1 sudu besar Biji Sawi
2 tangkai Daun Kari

Garam dan Gula secukup rasa
Minyak Masak secukupnya

Cara-cara:

Tulang dan isi ikan talang direndam sebentar dengan air garam. Toskan.

Masukkan tulang dan isi ikan talang masin bersama air, rempah kari, bahan kisar dan kentang ke dalam periuk. Biarkan seketika sehingga kentang lembut.

Kemudian masukkan santan dan terung.
Masak dengan api yang kecil dan kacau pelahan-lahan agar santan tidak pecah minyak. Masukkan air asam jawa dan perasakan secukupnya. Apabila mendidih, padamkan api.

Dalam kuali yang lain panaskan minyak dan tumis daun kari, bawang merah dan bawang putih yang dimayang halus bersama satu sudu besar biji sawi. Tumis hingga kekuningan dan naik bau.

Terus masukkan bahan tumis tadi ke dalam gulai tulang ikan talang masih panas dan kacau rata.

Sedia untuk dihidangkan bersama nasi panas.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Untuk mengurangkan rasa masin, tulang dan isi ikan talang direndam sebentar dengan air garam. Memang tak logik tetapi amat berkesan mengurangkan rasa masin. Cubalah dulu, baru tahu!

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.

Friday, 25 November 2016

Mai Mak Su Nak Rekomen: 101 Resipi Sajian Hati Ke Hati

Anak-anak tersayang, mai cepat!

Mak Su nak rekomen buku masak terbaru dari blogger masakan terkenal Fauziah Abd. Ghaffar atau lebih dikenali dengan panggilan Gee Hut di blog dia:

http://gee-hut.blogspot.my/

Buku masak dia, 101 Resipi Sajian Hati Ke Hati, terdapat 101 resipi yang mudah, sedap dan cepat disediakan. Ada resipi nasi dan bubur, mi dan bihun, ayam, daging, ikan, makanan laut, sayur-sayuran, telur dan tauhu, sambal, dan kuih dan kudapan.

101 resipi hanya berharga RM29.90! Amat berbaloi!

Boleh didapati di semua rangkaian Kedai Buku Popular. Mak Su beli di Kedai Buku Popular dekat Aeon Taiping.

Mak Su sangat nak rekomen buku ni bagi yang baru cuba nak belajar memasak, dan juga suri rumah dan isteri yang selalu kehabisan idea untuk memasak kepada famili.

 Ni lah buku dia. Kaver pun dah cantik.
 Warna yang sangat cute, PINK!
Mudah, lazat dan pasti jadi. Sesuai untuk isteri dan wanita yang bekerja. 

Resipi-resipi kegemaran Mak Su. Pasti akan cuba selepas ini:

Begedil Nyonya Manshoor (Mak Su yang suka!)
  Ikan Masak Cuka (Encik Husband suka!)
 Sardin Berapi (Anak No.3 suka!) 
  Cucur Badak Jaman Tori (yang ini satu famili suka!)

 Pi lah beli cepat! Dengar kata buku ni best seller! Nanti habis rugi!


Saturday, 19 November 2016

Daging Masak Kicap Senjakala Bulan Mengundang

Selamat berhujung minggu semua.

Hari ini Mak Su nak kongsikan menu kegemaran anak-anak Mak Su dan suami tercinta.
Menunya amat mudah, tetapi rasanya memang menusuk jiwa.

Jemput makan semua!


Resipi Daging Masak Kicap Senjakala Bulan Mengundang 

Bahan-bahan:


500 gm Daging (dipotong)
1/4 cawan Kicap Pekat

2 batang Kulit Kayu Manis
5 kuntum Bunga Cengkih
2 kuntum Bunga Lawang
5 biji Buah Pelaga

Bahan Kisar:
 
1 biji Bawang Besar
1 inci Halia
1 sudu besar Jintan Manis

Bahan-bahan Hiasan:

Daun Sup - dipotong panjang
Daun Bawang - dipotong panjang
Bawang Besar - dipotong bulat
Cili Merah - dipotong serong

Cara-cara:

Panaskan minyak.
Tumis rempah empat sekawan (Kulit Kayu Manis, Bunga Cengkih, Bunga Lawang dan Buah Pelaga) bersama bahan kisar tadi.
Tumis sehingga naik bau dan garing.

Masukkan daging dan kacau sebati.
Tunggu sehingga air daging kering.

Apabila air daging sudah kering dan daging sedikit empuk, masukkan kicap pekat.
Masukkan garam secukup rasa.

Kacau sebati sehingga daging empuk dan masukkan daun sup, daun bawang, hirisan bawang dan cili.

Kacau seketika dan sudah boleh dihidangkan.


Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Untuk menambahkan kesedapan masakan ini, boleh ditambahkan dengan setengah sudu kecil lada hitam yang ditumbuk halus.

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.

Saturday, 12 November 2016

Bihun Goreng Mentari Pagi Sejambak Bunga Secawan Kopi Seikhlas Hati

Selamat pagi anak-anak tersayang Mak Su Nor, dan semua peminat memasak.

Pagi ini Mak Su sajikan Bihun Goreng yang amat terror. Nama dia pun terror, kan?

Jemput makan semua!


Resipi Bihun Goreng Mentari Pagi Sejambak Bunga Secawan Kopi Seikhlas Hati

Bahan-bahan:


1 paket Bihun (400 gm) ~ rendam sehingga lembut dan toskan
200 gm Udang ~ buang kepala & kulit
200 gm Sotong ~ dihiris
1 mangkuk Taugeh
1 mangkuk Sayur Sawi
1 cawan Air
3 senduk nasi Cili Kisar
10 ulas Bawang Merah (diracik halus)
3 ulas Bawang Putih (diketuk kasar)
2 sudu besar Sos Tiram
2 sudu besar Sos Cili
2 sudu besar Sos Tomato
2 sudu besar Kicap Masin
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan Hiasan:

Daun Sup
Daun Bawang
Hirisan Cili
Tauhu Goreng.

Cara-cara:

Panaskan minyak.
Bahagikan bawang yang diracik halus tadi kepada 2 bahagian.
Goreng bahagian pertama dijadikan bawang goreng. Angkat bawang yang digoreng setelah kekuningan.

Dengan menggunakan minyak yang sama, goreng bawang merah yang selebihnya bersama bawang putih yang diketuk sehingga wangi dan layu. Kemudian tumis bersama cili yang dikisar tadi.
Apabila sudah pecah minyak, masukkan sos tiram, sos cili, sos tomato dan kicap.
Kacau sehingga sebati.

Masukkan udang, sotong dan air.
Tunggu sehingga udang dan sotong hampir masak.

Masukkan sayur dan bihun dan kacau rata.

Bila bihun dah lembut bolehlah diangkat dan taburkan dengan bawang goreng, daun sup, daun bawang, hirisan cili & juga tauhu goreng.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Bagi mereka yang tidak suka akan seafood, bolehlah digantikan dengan ayam ataupun daging.
Kepala dan kulit udang jangan dibuang, basuh dan rebus untuk digunakan air rebusannya.

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.

Tuesday, 8 November 2016

Laksa Penang Mak Su Nor Faberet Anak-Anak Tersayang

Post pertama Mak Su Nor ~ Laksa Penang Special.

Memang faberet anak-anak Mak Su.

Jemput makan semua!


Resipi Laksa Penang Mak Su Nor 

Bahan-bahan:

1 bungkus Laksa
1 kilo Ikan Sardin atau Ikan Selayang
3 biji Bawang Besar
2 inci Belacan
300 gram Cili Kering
5 keping Asam Keping
2 sudu besar Asam Jawa
1/2 biji Sengkuang - dikisar
1 kuntum Bunga Kantan - dibelah 4
1 ikat Daun Kesum
5 liter Air - mengikut kepekatan kuah yang disukai
Garam secukup rasa

Bahan-bahan Hiasan:

Timun - dihiris
Bawang Besar - dihiris
Cili Padi - dihiris
Salad - dihiris
Daun Pudina  - dihiris
Daun Selom - dihiris
Limau Kasturi - dibelah dua

Cara-cara:

Rendamkan laksa dalam air biasa. Rebus dan toskan laksa sebelum dihidangkan..

Rebus ikan dan asingkan isi.  Hancurkan isi ikan. Biar sedikit kasar supaya kuahnya pekat.

Air rebusan ikan dikisar bersama tulang ikan. Tapis bagi mengasingkan tulang dan air rebusan.

Kisar bawang besar, belacan dan cili kering.

Masukkan bahan-bahan yang dikisar di atas bersama sengkuang kisar, asam keping, asam jawa, daun kesum, dan bunga kantan ke dalam air rebusan.

Masak dengan api yang perlahan.

Bila kuah mula mendidih, masukkan garam secukup rasa.

Masukkan laksa ke dalam mangkuk, tuangkan kuah ke dalam mangkuk. Hiaskan dengan bahan-bahan hiasan.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Kalau nak sedap lagi, bolehlah ditambah air rebusan kulit udang.

Rugi tak cuba! Pasti menjilat sudu! Kering mangkuk nanti!