Saturday, 31 December 2016

Mee Kari Kuah Putih Orang Melayu Bukan Orang Putih

Assalamualaikum dan selamat tengahari semua!

Anak-anak Mak Su dah makan ka? Hari ni, dari dapur Mak Su, dibawakan resipi istimewa Mee Kari Kuah Putih Orang Melayu Bukan Orang Putih. Pernah makan tak? Kalau belum pernah, mai la cuba.  

Resipinya sangat simple dan senang. Tapi bila dah rasa, pasti menambat selera. Mak mentua lalu kat belakang pun tak perasan punya.

Jemput makan semua!

(Sori ye, gambar tak clear. Fotographer amat lapar sampai mengeletar gila dan air liur meleleh basah selantai tengok Mee Kari Kuah Putih sedap ni.)


Resipi Mee Kari Kuah Putih Orang Melayu Bukan Orang Putih

Bahan-bahan:

1 bungkus Mee Kuning
500 gram Tulang
500 gram Daging
3 cawan Santan Pekat
Air secukupnya
Garam secukup rasa 

Untuk Sambal:

100 gram Cili Kering
2 biji Bawang Besar 
5 biji Cili Padi (boleh letak lebih jika mahu lebih pedas)
2 inci Halia
2 inci Lengkuas
2 sudu besar Udang Kering 
3 keping Asam Keping
Garam dan Gula secukup rasa 

Bahan Hiasan:

3 biji Cili Merah (dipotong nipis dan sedikit serong)
3 keping Tauhu (digoreng dan dipotong nipis)
2 pokok Sawi (dicelur)
500 gram Kerang (direbus dan dikupas kulit)  
Bawang Goreng 
Daun Sup  
 
Cara-cara:

Rebus tulang dan daging sehingga empuk.

Setelah daging empuk, masukkan santan dan kacau perlahan (supaya tak pecah minyak) sehingga mendidih.

Perasakan dengan garam dan bahan perisa (jika mahu) secukupnya.

Untuk Sambal:

Kisar cili kering, bawang besar, cili padi, halia, lengkuas dan udang kering sehingga betul-betul halus.
Di dalam kuali, panaskan minyak. Tumis bahan kisar tadi sehingga garing. Kemudian masuk asam keping dan sedikit air. Kacau sehingga semua bahan mesra. Masukkan garam dan gula secukup rasa.

Cara Untuk Dihidangkan:

Masukkan mee kuning yang telah dicelur ke dalam mangkuk, dan sendukkan kuah secukupnya.
Hiaskan dengan daging yang telah dihiris (dari rebusan kuah tadi), cili merah, tauhu, sawi, bawang goreng, daun sup dan juga kerang rebus. Letakkan sambal secukupnya.

Mee Kari Kuah Putih Orang Melayu Bukan Orang Putih sedia untuk dihidangkan.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Untuk menambahkan kemanisan asli pada kuah kari ini, kita boleh tambahkan dengan air rebusan udang. Sama ada mahu masukkan air dari rebusan kulit udang ataupun rebus sekali isi udang bersama daging tadi.

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.

No comments:

Post a Comment