Saturday, 21 January 2017

Nasi Daging Mak Su Nor Country Road Take Me Home

Assalamualaikum.

Salam sejahtera buat semua.

Nak tahu apa menu istimewa Mak Su Nor hari ni?

Nasi Daging Mak Su Nor bukan ala Korea Bulgogi Goblin Gong Yoo tau. Tapi Nasi Daging ala Country Road Take Me Home.

Mengapa? Kerana supaya anak-anak tersayang Mak Su akan rindukan rumah kat kampung bila terfikir Nasi Daging Mak Su ni. Terus mereka akan nyanyikan lagu Country Road Take Me Balik Kampung.

Jemput makan semua!


Resipi Nasi Daging Mak Su Nor Country Road Take Me Home

Bahan-bahan: 

Untuk Nasi Daging:

2 cawan Beras Basmathi
500 gram Daging
2 liter Air
Perkakas Tumis (2 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 5 kuntum bunga cengkih, 5 biji buah pelaga)
2 biji Bawang Besar - dikisar halus
3 ulas Bawang Putih - dikisar halus
1 inci Halia - dikisar halus
3 sudu besar Minyak Sapi
1 tin Susu Cair

Untuk Air Asam:

3 biji Bawang Besar
3 biji Tomato
50 gram Cili Kering - dikisar halus
10 biji Cili Api
1/2 tin Sup Tomato
1/2 cawan Air Asam Jawa
Garam dan Gula secukup rasa.

Cara-cara:

Untuk Nasi Daging:

Potong daging nipis-nipis atau mengikut saiz kegemaran masing-masing.

Basuh daging sehingga bersih.

Rebus daging bersama-sama 2 liter air sehingga empuk. Apabila daging sudah empuk, tutup api.

Dalam periuk yang berasingan, tumis bawang besar, bawang putih dan halia yang sudah dikisar halus tadi bersama-sama minyak sapi dan perkakasan tumis.

Apabila tumisan sudah garing, masukkan 2 cawan air rebusan daging, susu cair dan garam secukup rasa.

Masukkan beras. Kecilkan sedikit api, tutup periuk dan masak sehingga beras masak menjadi nasi. Jangan kacau terlampau kerap kerana ini akan menyebabkan beras patah.

Untuk Air Asam:

Potong bawang besar dan tomato kepada 4 bahagian, dan kemudiannya hiris halus-halus.

Hiris cili padi halus-halus.

Di dalam mangkuk yang bersesuaian, satukan bawang besar, tomato dan cili padi yang sudah dihiris bersama-sama cili kering yang sudah dikisar, sup tomato dan air asam jawa.

Kacau sehingga bahan-bahan tadi mesra bersama.

Perasakan dengan garam dan gula mengikut selera masing-masing.

Cara Untuk Dihidangkan:

Sendukkan nasi ke dalam pinggan, dan hiaskan dengan daging yang sudah dihiris tadi.
Sendukkan air asam ke dalam mangkuk yang berasingan.

Dan akhirnya, Nasi Daging Mak Su Nor Country Road Take Me Home sedia untuk dihidangkan. Nyuuuummmmy.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Nak tau apa rahsia kalau kita tak mau bagi Beras Basmathi kita patah ketika memasak? Masukkan setengah sudu besar gula ke dalam beras yang sedia untuk dimasak. InsyaAllah, nasi yang dihasilkan akan panjang-panjang dan tidak mudah patah. Nanti cuba tau.

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.

No comments:

Post a Comment