Saturday, 26 November 2016

Gulai Ikan Talang Masin Tumis Darat Air Liur Meleleh

Apa khabar anak-anak tersayang Mak Su?

Apa khabar semua warga siber?

Hari ini Mak Su masakkan hidangan yang memang menyelerakan ~ Gulai Ikan Talang Masin.

Dengar saja nama dia pun, air liur mula meleleh, kan?

Jemput makan semua!


Resipi Gulai Ikan Talang Masin Tumis Darat Air Liur Meleleh 

Bahan-bahan:

500gm tulang dan isi Ikan Talang Masin
2 biji Kentang - dipotong 6
2 biji Terung - dipotong 6
2 bungkus Rempah Kari Ikan
2 cawan Santan Pekat
1/2 cawan Air Asam Jawa Cair

6 biji Bawang Merah - dikisar
1 inci Halia - dikisar
6 tangkai Cili Kering - dikisar

6 biji Bawang Merah - dimayang halus
2 ulas Bawang Putih - dimayang halus
1 sudu besar Biji Sawi
2 tangkai Daun Kari

Garam dan Gula secukup rasa
Minyak Masak secukupnya

Cara-cara:

Tulang dan isi ikan talang direndam sebentar dengan air garam. Toskan.

Masukkan tulang dan isi ikan talang masin bersama air, rempah kari, bahan kisar dan kentang ke dalam periuk. Biarkan seketika sehingga kentang lembut.

Kemudian masukkan santan dan terung.
Masak dengan api yang kecil dan kacau pelahan-lahan agar santan tidak pecah minyak. Masukkan air asam jawa dan perasakan secukupnya. Apabila mendidih, padamkan api.

Dalam kuali yang lain panaskan minyak dan tumis daun kari, bawang merah dan bawang putih yang dimayang halus bersama satu sudu besar biji sawi. Tumis hingga kekuningan dan naik bau.

Terus masukkan bahan tumis tadi ke dalam gulai tulang ikan talang masih panas dan kacau rata.

Sedia untuk dihidangkan bersama nasi panas.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Untuk mengurangkan rasa masin, tulang dan isi ikan talang direndam sebentar dengan air garam. Memang tak logik tetapi amat berkesan mengurangkan rasa masin. Cubalah dulu, baru tahu!

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.

Friday, 25 November 2016

Mai Mak Su Nak Rekomen: 101 Resipi Sajian Hati Ke Hati

Anak-anak tersayang, mai cepat!

Mak Su nak rekomen buku masak terbaru dari blogger masakan terkenal Fauziah Abd. Ghaffar atau lebih dikenali dengan panggilan Gee Hut di blog dia:

http://gee-hut.blogspot.my/

Buku masak dia, 101 Resipi Sajian Hati Ke Hati, terdapat 101 resipi yang mudah, sedap dan cepat disediakan. Ada resipi nasi dan bubur, mi dan bihun, ayam, daging, ikan, makanan laut, sayur-sayuran, telur dan tauhu, sambal, dan kuih dan kudapan.

101 resipi hanya berharga RM29.90! Amat berbaloi!

Boleh didapati di semua rangkaian Kedai Buku Popular. Mak Su beli di Kedai Buku Popular dekat Aeon Taiping.

Mak Su sangat nak rekomen buku ni bagi yang baru cuba nak belajar memasak, dan juga suri rumah dan isteri yang selalu kehabisan idea untuk memasak kepada famili.

 Ni lah buku dia. Kaver pun dah cantik.
 Warna yang sangat cute, PINK!
Mudah, lazat dan pasti jadi. Sesuai untuk isteri dan wanita yang bekerja. 

Resipi-resipi kegemaran Mak Su. Pasti akan cuba selepas ini:

Begedil Nyonya Manshoor (Mak Su yang suka!)
  Ikan Masak Cuka (Encik Husband suka!)
 Sardin Berapi (Anak No.3 suka!) 
  Cucur Badak Jaman Tori (yang ini satu famili suka!)

 Pi lah beli cepat! Dengar kata buku ni best seller! Nanti habis rugi!


Saturday, 19 November 2016

Daging Masak Kicap Senjakala Bulan Mengundang

Selamat berhujung minggu semua.

Hari ini Mak Su nak kongsikan menu kegemaran anak-anak Mak Su dan suami tercinta.
Menunya amat mudah, tetapi rasanya memang menusuk jiwa.

Jemput makan semua!


Resipi Daging Masak Kicap Senjakala Bulan Mengundang 

Bahan-bahan:


500 gm Daging (dipotong)
1/4 cawan Kicap Pekat

2 batang Kulit Kayu Manis
5 kuntum Bunga Cengkih
2 kuntum Bunga Lawang
5 biji Buah Pelaga

Bahan Kisar:
 
1 biji Bawang Besar
1 inci Halia
1 sudu besar Jintan Manis

Bahan-bahan Hiasan:

Daun Sup - dipotong panjang
Daun Bawang - dipotong panjang
Bawang Besar - dipotong bulat
Cili Merah - dipotong serong

Cara-cara:

Panaskan minyak.
Tumis rempah empat sekawan (Kulit Kayu Manis, Bunga Cengkih, Bunga Lawang dan Buah Pelaga) bersama bahan kisar tadi.
Tumis sehingga naik bau dan garing.

Masukkan daging dan kacau sebati.
Tunggu sehingga air daging kering.

Apabila air daging sudah kering dan daging sedikit empuk, masukkan kicap pekat.
Masukkan garam secukup rasa.

Kacau sebati sehingga daging empuk dan masukkan daun sup, daun bawang, hirisan bawang dan cili.

Kacau seketika dan sudah boleh dihidangkan.


Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Untuk menambahkan kesedapan masakan ini, boleh ditambahkan dengan setengah sudu kecil lada hitam yang ditumbuk halus.

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.

Saturday, 12 November 2016

Bihun Goreng Mentari Pagi Sejambak Bunga Secawan Kopi Seikhlas Hati

Selamat pagi anak-anak tersayang Mak Su Nor, dan semua peminat memasak.

Pagi ini Mak Su sajikan Bihun Goreng yang amat terror. Nama dia pun terror, kan?

Jemput makan semua!


Resipi Bihun Goreng Mentari Pagi Sejambak Bunga Secawan Kopi Seikhlas Hati

Bahan-bahan:


1 paket Bihun (400 gm) ~ rendam sehingga lembut dan toskan
200 gm Udang ~ buang kepala & kulit
200 gm Sotong ~ dihiris
1 mangkuk Taugeh
1 mangkuk Sayur Sawi
1 cawan Air
3 senduk nasi Cili Kisar
10 ulas Bawang Merah (diracik halus)
3 ulas Bawang Putih (diketuk kasar)
2 sudu besar Sos Tiram
2 sudu besar Sos Cili
2 sudu besar Sos Tomato
2 sudu besar Kicap Masin
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan Hiasan:

Daun Sup
Daun Bawang
Hirisan Cili
Tauhu Goreng.

Cara-cara:

Panaskan minyak.
Bahagikan bawang yang diracik halus tadi kepada 2 bahagian.
Goreng bahagian pertama dijadikan bawang goreng. Angkat bawang yang digoreng setelah kekuningan.

Dengan menggunakan minyak yang sama, goreng bawang merah yang selebihnya bersama bawang putih yang diketuk sehingga wangi dan layu. Kemudian tumis bersama cili yang dikisar tadi.
Apabila sudah pecah minyak, masukkan sos tiram, sos cili, sos tomato dan kicap.
Kacau sehingga sebati.

Masukkan udang, sotong dan air.
Tunggu sehingga udang dan sotong hampir masak.

Masukkan sayur dan bihun dan kacau rata.

Bila bihun dah lembut bolehlah diangkat dan taburkan dengan bawang goreng, daun sup, daun bawang, hirisan cili & juga tauhu goreng.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Bagi mereka yang tidak suka akan seafood, bolehlah digantikan dengan ayam ataupun daging.
Kepala dan kulit udang jangan dibuang, basuh dan rebus untuk digunakan air rebusannya.

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.

Tuesday, 8 November 2016

Laksa Penang Mak Su Nor Faberet Anak-Anak Tersayang

Post pertama Mak Su Nor ~ Laksa Penang Special.

Memang faberet anak-anak Mak Su.

Jemput makan semua!


Resipi Laksa Penang Mak Su Nor 

Bahan-bahan:

1 bungkus Laksa
1 kilo Ikan Sardin atau Ikan Selayang
3 biji Bawang Besar
2 inci Belacan
300 gram Cili Kering
5 keping Asam Keping
2 sudu besar Asam Jawa
1/2 biji Sengkuang - dikisar
1 kuntum Bunga Kantan - dibelah 4
1 ikat Daun Kesum
5 liter Air - mengikut kepekatan kuah yang disukai
Garam secukup rasa

Bahan-bahan Hiasan:

Timun - dihiris
Bawang Besar - dihiris
Cili Padi - dihiris
Salad - dihiris
Daun Pudina  - dihiris
Daun Selom - dihiris
Limau Kasturi - dibelah dua

Cara-cara:

Rendamkan laksa dalam air biasa. Rebus dan toskan laksa sebelum dihidangkan..

Rebus ikan dan asingkan isi.  Hancurkan isi ikan. Biar sedikit kasar supaya kuahnya pekat.

Air rebusan ikan dikisar bersama tulang ikan. Tapis bagi mengasingkan tulang dan air rebusan.

Kisar bawang besar, belacan dan cili kering.

Masukkan bahan-bahan yang dikisar di atas bersama sengkuang kisar, asam keping, asam jawa, daun kesum, dan bunga kantan ke dalam air rebusan.

Masak dengan api yang perlahan.

Bila kuah mula mendidih, masukkan garam secukup rasa.

Masukkan laksa ke dalam mangkuk, tuangkan kuah ke dalam mangkuk. Hiaskan dengan bahan-bahan hiasan.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Kalau nak sedap lagi, bolehlah ditambah air rebusan kulit udang.

Rugi tak cuba! Pasti menjilat sudu! Kering mangkuk nanti!