Saturday 25 March 2017

Nasi Lemak Manchester United I Cinta You, You Cinta I

Assalamualaikum & Salam Sejahtera semua.

Kembali kita bersiaran naa sayang-sayang Mak Su. Kadang-kadang, memang buntu tak tau nak masak apa untuk famili tersayangkan? Walaupun Pak Su jenis tak kisah dan cerewat, of coz la Mak Su nak sajikan hidangan terbaik untuk Pak Su terchiiinntaa.

Maka dengan penuh rasa kasih sayang, siaplah satu menu kegemaran famili Mak Su iaitu Nasi Lemak Manchester United I Cinta You, You Cinta I.

Jemput makan semua! 

 
Resipi Nasi Lemak Manchester United I Cinta You, You Cinta I
 
Resipi Sambal Tumis Sotong Kering
 
Bahan-bahan:

3 ekor Sotong Kering - direndam dan dipotong kecil 
4 Senduk Cili Kering Kisar
1 inci Belacan - dikisar bersama Cili Kering
3 Biji Bawang Besar dikisar
Garam dan Gula secukup rasa
Air Asam Jawa

Cara-cara:

Sotong kering direndam dengan air semalaman. Basuh bersih dan rendam sekali lagi selama satu jam. Setelah satu jam basuh sekali lagi dan sotong dipotong kecil.

Kisar bawang besar sehingga halus. Panaskan minyak dan tumis bawang tadi sehingga naik bau. Kemudian masukkan cili kisar dan goreng sehingga cili betul-betul garing.

Setelah garing, masukkan sedikit gula terlebih dahulu dan kacau sehingga gula hancur.
Kemudian masukkan sotong dan digaul rata sebelum dimasukkan air.

Masak dengan api perlahan sehingga sotong masak. 
Masukkan sedikit air, garam secukup rasa dan juga air asam jawa. Kacau rata. 
Apabila semuanya sudah mesra bolehlah ditutup api.
 
Resipi Nasi Lemak

Bahan-bahan:

3 cawan/pot Beras - basuh dan toskan
1 helai Daun Pandan - carik dan simpul
1 inci Halia - hiris
3 biji Bawang Merah - ditumbuk halus
1 cawan Santan Pekat
3 cawan Air
Secubit Garam

Cara-cara:

Masukkan beras, air, santan pekat, halia, bawang merah, daun pandan dan secubit garam ke dalam periuk nasi.

Kacau bahan-bahan sehingga rata dan mesra.

Hidupkan suis periuk nasi.
Tunggu sehingga nasi masak.

Nasi Lemak Manchester United I Cinta You, You Cinta I sedia untuk dihidangkan.

Boleh juga dihidangkan bersama hirisan timun, telur rebus/goreng dan juga ikan bilis dan kacang goreng.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Tips untuk melembutkan sotong, mudah sahaja. Anak-anak Mak Su boleh rebus dahulu sotong kering ini seketika. InsyaAllah hasilnya, sotongnya akan menjadi lembut dan tidak liat.

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.
 

No comments:

Post a Comment