Saturday 25 March 2017

Nasi Lemak Manchester United I Cinta You, You Cinta I

Assalamualaikum & Salam Sejahtera semua.

Kembali kita bersiaran naa sayang-sayang Mak Su. Kadang-kadang, memang buntu tak tau nak masak apa untuk famili tersayangkan? Walaupun Pak Su jenis tak kisah dan cerewat, of coz la Mak Su nak sajikan hidangan terbaik untuk Pak Su terchiiinntaa.

Maka dengan penuh rasa kasih sayang, siaplah satu menu kegemaran famili Mak Su iaitu Nasi Lemak Manchester United I Cinta You, You Cinta I.

Jemput makan semua! 

 
Resipi Nasi Lemak Manchester United I Cinta You, You Cinta I
 
Resipi Sambal Tumis Sotong Kering
 
Bahan-bahan:

3 ekor Sotong Kering - direndam dan dipotong kecil 
4 Senduk Cili Kering Kisar
1 inci Belacan - dikisar bersama Cili Kering
3 Biji Bawang Besar dikisar
Garam dan Gula secukup rasa
Air Asam Jawa

Cara-cara:

Sotong kering direndam dengan air semalaman. Basuh bersih dan rendam sekali lagi selama satu jam. Setelah satu jam basuh sekali lagi dan sotong dipotong kecil.

Kisar bawang besar sehingga halus. Panaskan minyak dan tumis bawang tadi sehingga naik bau. Kemudian masukkan cili kisar dan goreng sehingga cili betul-betul garing.

Setelah garing, masukkan sedikit gula terlebih dahulu dan kacau sehingga gula hancur.
Kemudian masukkan sotong dan digaul rata sebelum dimasukkan air.

Masak dengan api perlahan sehingga sotong masak. 
Masukkan sedikit air, garam secukup rasa dan juga air asam jawa. Kacau rata. 
Apabila semuanya sudah mesra bolehlah ditutup api.
 
Resipi Nasi Lemak

Bahan-bahan:

3 cawan/pot Beras - basuh dan toskan
1 helai Daun Pandan - carik dan simpul
1 inci Halia - hiris
3 biji Bawang Merah - ditumbuk halus
1 cawan Santan Pekat
3 cawan Air
Secubit Garam

Cara-cara:

Masukkan beras, air, santan pekat, halia, bawang merah, daun pandan dan secubit garam ke dalam periuk nasi.

Kacau bahan-bahan sehingga rata dan mesra.

Hidupkan suis periuk nasi.
Tunggu sehingga nasi masak.

Nasi Lemak Manchester United I Cinta You, You Cinta I sedia untuk dihidangkan.

Boleh juga dihidangkan bersama hirisan timun, telur rebus/goreng dan juga ikan bilis dan kacang goreng.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Tips untuk melembutkan sotong, mudah sahaja. Anak-anak Mak Su boleh rebus dahulu sotong kering ini seketika. InsyaAllah hasilnya, sotongnya akan menjadi lembut dan tidak liat.

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.
 

Saturday 11 March 2017

Kuey Teow Goreng Go Go Power Rangers Go Go Go!!!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.

Anak-anak Mak Su apa habaq? Sori, minggu lepas Mak Su tak dan nak bersiaran. Buzy sikit.

Menu untuk hari ni simple ja. Tiap-tiap hari makan nasi, kadang-kadang jemu jugak. So kita tukaq sikit menu yang simple tapi confirm sedap dan mengenyangkan.

Mempersembahkan Kuey Teow Goreng Go Go Power Rangers Go Go Go!!!

Jemput makan semua! 


Resipi Kuey Teow Goreng Go Go Power Rangers Go Go Go!!!
 
Bahan-bahan:
 
1 paket Kuey Teow (400 gm)
100 gm Udang ~ buang kepala & kulit
1 mangkuk Taugeh
1 mangkuk Kucai
1/2 cawan Air
2 senduk nasi Cili Kisar
7 ulas Bawang Merah (diracik halus)
2 ulas Bawang Putih (diketuk kasar)
1 sudu besar Sos Tiram
2 sudu besar Sos Cili
1 sudu besar Sos Tomato
2 sudu besar Kicap Masin
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan Hiasan:

Daun Sup
Daun Bawang
Bawang Goreng
Hirisan Cili
Tauhu Goreng
Hirisan Fish Cake Goreng

Cara-cara:

Panaskan minyak.
Goreng bawang merah yang diracik halus bersama bawang putih yang diketuk sehingga wangi dan layu.

Masukkan cili kisar ke dalam gorengan bawang tadi dan kacau sehingga cili pecah minyak.

Apabila sudah pecah minyak, masukkan sos tiram, sos cili, sos tomato dan kicap.
Kacau sehingga sebati.

Masukkan udang dan air.
Tunggu sehingga udang hampir masak.

Masukkan sayur taugeh dan kucai bersama-sama kuey teow dan kacau rata.

Bila kuey teow sudah mesra dengan bahan-bahan tumisan, bolehlah diangkat dan taburkan dengan bawang goreng, daun sup, daun bawang, hirisan cili, tauhu goreng beserta hirisan fish cake yang sudah digoreng.

Taraaa Kuey Teow Goreng Go Go Power Rangers Go Go Go!!! sedia untuk dihidangkan.

Pssssst ... TOP SECRET ... mai Mak Su nak bisik sat ...

Selalunya, anak-anak Mak Su selalu mengadu, kenapa bila mereka goreng kuey teow, kuey teownya akan patah-patah dan hancur. So, ni Mak Su nak bagitau, bila kita dah beli kuey teow, jangan simpan dalam peti sejuk. Letakkan kuey teow tu diluar pada suhu bilik yang biasa. Suhu di dalam peti yang sejuk akan menyebabkan cecair dalam kuey teow menjadi kering dan disebabkan itulah apabila kita menggoreng kuey teow akan patah-patah.

Jadi ingat ye, sayang-sayang Mak Su semua..

Selamat mencuba semua. Pasti menjilat jari! Kalau sedap, cubalah banyak kali.